Friday, July 29, 2011

Ayam Halia Berlada Hitam

Salam semua.....
Hari2 terakhir ketibaan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, saya kureng sikit memasak. Mood memasak pun macam down jer.... Tapi, kena juga masak buat anak2 dan keluarga. So, hari ni, saya masak ayam halia berlada hitam.

Ayam Halia Berlada Hitam


Bahan-bahan:
6-7 ketul ayam - digoreng separuh masak
10 ulas bawang putih - diketuk sahaja
1 labu bawang merah - dihiris
2 inci halia muda - dihiris
1 sdb sos tiram
1/2 ketul kiub ayam
1 sdk lada hitam biji - nak guna serbuk pun boleh, tapi kurang pedas.
Sedikit air sebagai kuah
Perasa garam dan gula

Cara-cara:
- Ketepikan ayam yang telah digoreng separuh masak tadi
- Tumis bawang putih, separuh hirisan bawang besar dan halia dengan minyak yang sedikit sehingga naik bau.
- Masukkan sos tiram, dan sedikit air.
- Masukkan kiub ayam, dan biarkan seketika sehingga kuah mendidih.
- Masukkan ayam, kacau rata. Biarkan seketika sehingga ayam betul masak.
- Taburkan serbuk lada hitam, perasakan dengan rama dan sedikit gula.
- Akhir sekali, masukkan lebihan hirisan bawang besar, kacau rata. Tutup api, dan angkat, hidangkan.
- Hias dengan daun sup dan daun bawang.

Selamat mencuba!

Kek Coklat Berperisa NESCAFE

Semalam ialah last project cake before Ramadhan. Anak kedua saya, Amniy merengek mahukan kek. Kelmarinnya, dah buat kek karamel yang sedikit bermasalah. Dia juga yang minta. Tapi, sekejap je... sehari dah selesai. Semalam, minta lagi kek lain. Kek coklat pulak. Sebenarnya, kek coklat ni, saya dah pernah publish kat sini. Sila klik Kek Coklat Lembap + Fudge Topping untuk resepi. Cumanya, kali ni saya gantikan dengan bancuhan NESCAFE sebagai ganti cappucino emulco yang telah habis. Dan juga kek coklat kali ini saya bakar, sebab agak risau dengan gas yang semakin habis juga.

Kek Coklat Berperisa NESCAFE

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
11/2cawan serbuk koko + 1/2 cawan serbuk minuman koko (nak guna Milo pun boleh)
1/2 sdt soda bikarbonat
1/2 sdt baking powder
* (4 bahan ni di ayak, dan asingkan dulu)

3 biji telur
1 sdt ovallete
1 cawan minyak jagung (minyak masak pun boleh)
1 1/2 cawan gula pasir
1 1/4 cawan susu segar + 3 sdb susu pekat

1 sdt serbuk NESCAFE dibancuh dengan sedikit air

Cara-cara:
Pukul telur, gula dan ovallete hingga kembang
- Masukkan susu segar + susu pekat, kacau hingga rata.
- Masukkan semua bahan yang diayak tadi, sedikit  demi sedikit sambil dipukul dengan speed slow. Ratakan bancuhan.
- Masukan minyak jagung, dan kacau lagi hingga sebati.
- Masukkan bancuhan NECAFE, dan kacau sebati.
- Panaskan oven terlebih dahulu, dan bakar kek pada suhu 160 darjah celcius selama 60 minit atau sehingga masak.



Topping
- 2 sdb mentega (saya guna Buttercup. Kalau mentega yang berkualiti tinggi, macam Anchor ke, lagi sedap)
- 3 sdb susu cair
- 1/2 cawan serbuk koko
- 4 sdb susu pekat
* Masakkan kesemua bahan di atas secara double boiler, dan bila sebati semuanya, curahkan topping di atas kek. Jangan masak terlalu lama kerana ia akan berketul. Dan taburkan atas kek dengan coklat rice



Layan gambar.....
 Untuk bancuhan ni, saya terpaksa masukkan dalam 2 loyang sebab memang banyak.
Kalau masuk 1 loyang, ok je, cuma naik mencanak la....

 1 loyang ni.....

 Dan 1 lagi loyang bulat ni.... dah potong sikit, sebab Amniy sangat tidak sabar.

Siap untuk di makan.....

Wednesday, July 27, 2011

Masalah Kek Karamel!!!!

Anak2 saya berhari-hari minta kek karamel. Hari ni, saya buat kek ni lagi. Ntah kali ke berapa tah, anak2 masih tak jemu2. Tapi, saya sedikit kecewa dengan kek karamel kali ini. Saya tak tahu mana silapnya. Agaknya, silap pada susu. Biasa saya gunakan susu cair, tapi kali ni, saya gunakan susu segar sebab kehabisan susu cair. Dah 2 kali buat guna susu segar, dan dah 2 kali juga ia jadi seperti ini. Dan memang saya syak masalah susu....

 Lapisan susu tak cantik....

 Nampak... ia lembik sangat, mencair.....

Bila saya terbalikkan, sedikit pecah dan meleleh ke tepi....

Cuba bandingkan dengan gambar bawah ni. Ini hasil kek karamel yang saya buat menggunakan susu cair. Dan sudah beberapa kali menggunakan susu cair, memang beginilah hasilnya.
Saya puas hati......

Saya sukakan lapisan susu yang cantik dan terletak kemas tu.

Dan ini juga..... menggunakan susu cair.

Betul ke masalah kek karamel saya buatan hari ini ialah susu. Saya tak tahulah. Yang pasti, lepas ni, saya tak kan buat kek ini menggunakan susu segar. Ada sesiapa boleh jelaskan masalah saya ini. Kalau sesiapa berpengalaman menggunakan susu segar, dan hasilnya cantik, silalah kongsikan tips bersama saya. 

Monday, July 25, 2011

Roti Kopi # Roti Boy # Mexican Bun

Saya dan suami memang dah lama mencari resepi roti ni, dulu2nya, selalu la membeli kat kedai bakery Tesco.  Tapi, sebab kat Tesco tu tak nampak tanda halal, kami hentikan pembelian. Sekalipun ada sijil halal, tapi tidak dipamerkan, dan pengguna seperti saya rasa ragu-ragu untuk memakannya, untuk apa saya teruskan pembelian. Saya perlu jaga hati dan darah keluarga. Jadi, saya cuba mencari resepi di internet. Alhamdulillah, dapat..... Seronok sangat sebab percubaan pertama kami membuat roti ini berhasil.

Roti Boy / Mexican Bun

Resepi asal adalah dari Diana @ MyResepi, tapi saya telah kurangkan sukatannya kepada 2 bahagian. Kalau ikut resepi asal, untuk 500 gm tepung roti, hasil roti akan dapat 17 biji. Tapi, saya menggunakan tepung superfine, dapat roti 13 biji. Agaknya tepung roti tu lain kot dengan tepung superfine. Tak kisah la, yang penting, saya amat berpuas hati dengan roti ni. :-)

Bahan-Bahan

·         # Bahan untuk Inti #
·         50 gram mentega bergaram, dilembutkan
·         1/4 sudu teh esen vanilla
·         25 gram gula perang

·         # Bahan untuk Topping #
·         50 gram mentega, dilembutkan
·         40 gram gula aising, diayak
·       1  biji telur, dipukul sedikit
·         1 1/2 sudu makan NESCAFE dicampurkan dengan 1 sudu besar air
·          50 gram tepung serbaguna, diayak

·         # Bahan untuk Doh Manis #
·         250 gram tepung roti, diayak (saya guna tepung superfine)
·         10 gram tepung susu, diayak (saya tak guna, sebab dah guna susu segar)
·         35 gram gula kaster
·         1/2  sudu teh) garam
·         1 1/2 sudu teh yis segera
·         1/2 biji telur, dipukul sedikit
·        135 gram (135 ml) air atau susu segar (kalau sudah menggunakan susu tepung jangan guna susu tapi gunakan air) - (saya guna susu segar)
·         30 gram mentega, dilembutkan

Cik suami saya tengah pipekan topping kat atas roti sebelum roti masuk oven

Roti yang sudah sedia untuk dibakar

Cara-cara
1.    Cara untuk Intinya Pukul mentega dalam mixer pada kelajuan sederhana selama 3 minit. Masukkan esen vanilla dan gula perang dan pukul hingga sebati. Tuangkan adunan kedalam mangkuk dan bekukan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.

2.    Cara untuk Topping Pukul mentega dan gula aising pada kelajuan sederhana selama 5 minit sehingga adunan ringan dan gebu. Masukkan telur sedikit demi sedikit. Masukkan esen kopi atau NESCAFE. Masukkan tepung dan putar pada kelajuan perlahan sehingga semuanya sebati. Masukkan kedalam piping bag (saya masukkan dalam plastik je, sebab tiada piping bag) dan sejukkan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.

3.    Cara untuk Doh Manis Campurkan tepung yang telah diayak, gula kaster dan garam didalam mixer dan putar pada kelajuan perlahan selama 1 minit. Masukkan yis, telur dan air. Putar selama 1 minit pada kelajuan perlahan dan kemudian pada kelajuan sederhana selama 8 minit. Masukkan butter dan gaul hingga sebati selama 5 minit pada kelajuan sederhana sehingga adunan roti menjadi lembut dan licin. (Selepas menguli gunakan mixer, saya uli doh dengan menggunakan tangan sambil ambil sedikit demi sedikit tepung gandum sehingga doh kelihatan licin dan lembut) Kemudian bulatkan adunan setiap bahagian 50 gram (boleh dapat 13 bahagian). Bentukkan bulat. Tutup dengan kain lembab dan biarkan selama 10 minit.

4.    Cara untuk membuat Roti Boy : Menggunakan telapak tangan leperkan adunan roti. Letakkan inti ditangan dan tutup dan kemaskan (mesti tutup betul kalau tidak sewaktu membakar inti akan terkeluar dan cair). Bentukkan bulat dan letakkan atas loyang pembakar yang telah disapu mentega. Ulangi untuk bulatan roti yang lain. Letakkan roti pada jarak 7.5cm diatas loyang pembakar. Ketepikan untuk diperap selama 45 minit didalam suhu suam. Pipe toppping diatas roti bentuk spiral (bulat-bulat) bermula dari tengah. Bakar pada suhu 170 darjah C selama 15-20 minit atau sehingga roti kekuningan.

 Hasil selepas bakar, baru keluar oven, panas-panas terus snap gambar 
Excited wei! Heheheh...

 Finally.... Hehehe... sama macam kedai punya daaa....!

Sebelum makan, meh kasi zoom dalamnya.... terliur tak?

Memang best bila dapat hasilkan sendiri roti ni, roti kegemaran saya sekaluarga. Jadi, apa tunggu lagi, mari mencuba!

Friday, July 22, 2011

Cerita Kuih Kasuwi Hari Ini!

Dari malam tadi rasa teringin amat nak makan kuih kasuwi. Tapi tak sempat buat, sebab dah mengantuk. Niat nak bangun awal pagi membuatnya, tapi, tak terbangun pulak. Lepas Ikhwan dan abinya ke sekolah, saya buat la juga....


Saya dah 2 kali post resepi kuih kasuwi ni, kali ni tak nak tepek lagi. Jadi kalau berminat nak buat kuih ni, boleh KLIK SINI dan SINI. Nak resepi kasuwi pandan pun ada, KLIK SINI.

Kalau tengok pada gambar tu, warna kuih saya tak berapa gelap. Ala2 coklat muda je. Selalu tu, jadi coklat tua. Baru saya tahu, kalau buat kuih kasuwi tak boleh guna gula kabung. Warna tak akan jadi seperti yang kita inginkan, dan rasanya juga sedikit lain. Ringan sangat rasanya. Biasa guna gula merah, kali ni, gula merah tak ada, saya gunakan gula kabung. Hasilnya... begitu la. Tapi, masih sedap dimakan lagi. No hal lah!


Satu lagi, ini pertama kali saya buat kuih kasuwi dalam acuan kuih lompang ni. Biasa buat dalam loyang, dan potong2. Kali ni, sebab nak nampak comel, buat la dalam acuan. Memang comel la... Tapinya, saya ni ntah fikir apa pagi tadi, acuan tu terlupa nak sapu minyak. Jadi, bila kuih dah masak, jadi susah la nak dikeluarkan walalupun sudah agak sejuk. Jadi tak cantik pulak.....

Mujurlah salut je dengan kelapa putih, jadi tak nampak betapa buruknya kuih saya.

Dan untuk kukusan sessi kedua, saya sapu acuan dengan minyak. Alhamdulillah, lepas je masak, hasil kuih sangat cantik dan licin.


Dapat la beri jiran sebelah rumah sepinggan.... Moral, jangan guna gula kabung. Lagi cantik guna gula merah..... Sekian, terima kasih!

Apam Beras

Alhamdulillah, inilah satu-satunya kuih apam yang memenuhi piawaian selera tekak saya dan suami, juga anak2. Saya buat apam ni sebagai hidangan minum petang keluarga saya petang tadi. Pertama kali membuatnya, alhamdulillah, menjadi. Resepi asal dari Atun, di FB. Terima kasih Atun, resepi yang terbaek!!!!

Apam Beras

Bahan-bahan:
3 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
2 cawan gula pasir
1 peket yeast mauripan (11 gm)
2 cawan nasi
3 cawan air
Secubit garam 

Cara-cara membuatnya :
~ Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar kecuali nasi dan air.
~ Gaul semua bahan tersebut dan ketepikan seketika.
~ Sementara itu, kisar nasi bersama air sehingga halus.
~ Satukan nasi yang telah dikisar ke dalam bahan yang telah digaul tadi, dan sebatikan adunan.
~ Biarkan adunan mesra selama 1 jam kerana adunan akan mengembang selepas itu.
~ Tambahkan perisa dan pewarna yang anda gemari, atau mahu ia kekal sebagai warna asal pun boleh. Saya tambahan esen pandan dan pewarna hijau.
~ Selepas 1 jam, panaskan kukusan, dan sapu loyang atau acuan kukusan dengan sedikit minyak.
~ Masukkan adunan ke dalam loyang atau acuan anda separuh dari acuan tersebut kerana apam akan naik selepas ia masak.
~ PERINGATAN : Acuan harus di sapu minyak terlebih dahulu supaya apam mengikut bentuk apabila telah masak nanti.

Sekejap je habis, sebab saya guna acu lompang, jadi hasilnya comel2 jer... :-)

Wednesday, July 20, 2011

Sardin Goreng Berkuah Kicap

Tengahari tadi, lauk utama sardin je. Walaupun sardin, tetap membuatkan saya menahan nafsu untuk tambah nasi. Bahaya sungguh! Gumuk nanti! Meh lihat bahan-bahan dan cara membuatnya.


Bahan-bahan:
1 tin sardin (saya gunakan Sardin Adabi)
Sedikit tepung beras - untuk disalut pada ikan sardin sebelum digoreng
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 sdk lada putih
Sedikit kicap
1 labu bawang besar - sebagai hiasan

Cara-cara membuatnya:
~ Asingkan ikan sardin dan kuahnya. Salut ikan sardin bersama tepung beras, dan goreng. Ketepikan
~ Tumbuh bawang merah, bawang putih dan lada putih, tumis bahan yang ditumbuk bersama kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga naik bau.
~ Masukkan kuah sardin tadi, dan kacau rata. Tambahkan sedikit air sebagai kuah, dan tambahkan kicap.
~ Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
~ Masukkan bawang besar yang telah dihiris bulat, kacau rata dan tutup api.
~ Susun ikan sardin yang telah digoreng tadi cantik2 dalam pinggan atau apa saja, dan tuang kuah kicap sardin tadi ke atas ikan.
~ Hidangkan!


Selamat mencuba! :-)

Puding Roti Berlauk

Pelik,kan? Selalu puding roti rasa manis, kali ni buat cara berlauk pula. Inspirasi ni dapat dari Fiza Nordin, terima kasih Fiza sebab beri inspirasi pada saya. Tapi, saya tak ikut resepi dia, saya buat cara saya sendiri.

Yang tak bestnya, bila lauknya dah siap, roti pun dah siap sedia dalam blender, siap dengan susu dan marjerin, tiba2 tengok telur habis. Dah minta cik suami belikan malam tadi, rupa2nya dia lupa.... Huwaaaa.... rasa nak nagis sekejap. Pastu, positifkan diri.... mesti jadi punya! Kita buat dia, bukan dia buat kita. Terus je jalankan operasi! Meh tengok bahan-bahan dan cara membuatnya.

Puding Roti Berlauk


Bahan-bahan lauk:
250 gm ayam kisar (jenama Ramly)
2 biji kentang - dipontong dadu kecil
3 ulas bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 sdb rempah kurma serbuk
Sedikit air
Garam dan gula sebagai perasa

Cara membuatnya:
* Sediakan lauk dahulu...
~ Tumis bawang merah, bawang putih, kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga naik bau.
~ Tambahkan rempah kurma, dan kacau rata, kemudian tambahkan sedikit air. Kacau rata.
~ Masukkan ayam kisar, biarkan ia masak seketika.
~ Kemudian, masukkan kentang yang telah dipotong dadu.
~ Biarkan kentang lembut dan ayam kisar masak sepenuhnya.Kalau air kurang, tambahkan sikit. Tutup kuali anda.
~ Apabila kentang sudah lembut dan sudah kering, perasakan dengan garam dan gula. INGAT! Janag letak garam di awal masakan anda, kerana kentang akan menyerap rasa masin dan manis.
~ Ketepikan seketika.

Baru keluar oven... sejukkan seketika

Bahan-bahan untuk membuat bingka / puding
10 keping roti (saya guna roti Gardenia)
3 sdb marjerin
400 ml susu cair (1 tin) + 75 ml susu cair (saya tambah 75ml susu cair sebab tiada telur)
1 biji telur (kalau tambah telur, tak perlu tambah 75 ml susu cair)
1/2 sudu garam

Cara membuatnya :
~ Koyak-koyakkan 8 keping roti sedikit demi sedikit, masuk dalam pengisar, dan kisar bersama marjerin dan susu cair. Susu cair boleh di masukkan sedikit demi sedikit.
~ Kalau letak telur, boleh masuk terus telur dalam pengisar dan kisar sehingga adunan halus. Tambahkan garam, dan kisar lagi.
~ Tuang adunan ke dalam loyang yang telah digriskan dengan marjerin. 2 keping roti lebihan tadi di koyak2kan dan masukkan ke dalam adunan tadi.
~ Ratakan lauk yang telah siap tadi di atas adunan, dan tekan2 sedikit supaya lauk tenggelam. Sedikit saja tau!
~ Bakar dalam oven pada suhu 175 darjah celcius, selama 50 minit (lebih kurang).
~ Keluarkan loyang dari oven, dan tambah lauk ikut suka anda. Dan sambung lagi membakar selama 10-15 minit berikutnya.
~ Apabila selesai membakar, keluarkan dari oven, dan taburkan hirisan daun sup dan daun bawang serta bawang goreng. Sejukkan seketika, baru potong!

 Memang lain dari yang lain.... sedap betul rasanya.
Sesuai dengan tekak saya

Kasi zoom sikit!

Ok, selamat mencuba pada yang suka pada resepi ini.

Monday, July 18, 2011

Kuih Cara Inti Kaya (sedikit tutorial)

Saya pernah post resepi kuih cara kaya dalam blog ini dulu. Ada yang minta saya tunjukkan bagaimana saya memasukkan inti kaya di dalam kuih tersebut. Tapi, sebelum tu, saya ada membuat sedikit perubahan pada resepi kali ini. Ini disebabkan saya menggunakan santan kelapa asli, berbanding yang dulu saya menggunakan santan serbuk.

 Kuih Cara Inti Kaya


Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 cawan jus pandan - 3 helai daun pandan dikisar bersama 1 cawan air biasa
1 cawan santan
1 cawan air biasa
1 biji telur
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau
Kaya pandan sebagai inti

Cara:
- Satukan semua bahan, kisarkan. Tapis, dan masukkan dalam jag supaya mudah untuk dituang ke dalam acuan. Campurkan sedikit minyak masak (tapi, saya lebih suka menggunakan minyak jagung) supaya kuih tidak melekat pada acuan apabila sudah masak.

 Bahan adunan telah siap ditapis dan dimasukkan ke dalam jag. Inti kaya pula, di masukkan ke dalam plastik seperti gambar di atas, dan guntingkan sedikit di bucu plastik.

 Setelah tuang adunan kuih ke dalam acuan, (api harus kecil sahaja), picitkan inti kaya ke dalam bancuhan tadi. (Lihat gambar ye....) Dan setelah memasukkan inti ke dalam semua bahagian, tutup acuan tersebut dengan tudung periuk. Besarkan api sedikit. Biarkan seketika sehingga kuih masak sepenuhnya.

 Dah masak, angkat dengan sudu, dan hidangkan seperti ini..... Budak2 memang suka!

Lihat...... didalamnya bukan gula, tapi kaya!

Selamat mencuba!

Sunday, July 17, 2011

Ikan Patin Asam Tempoyak + Ikan Patin Goreng Bawang Putih

Kalau dapat ikan patin, 2 masakan ini wajib buat. Saya sekeluarga memang gemarkan. Hari tu, saya pernah postkan entry asam pedas ikan patin. Tapi kali ni, masak lain sikit, sebab masakan ni kegemaran keluarga saya.

 Ikan Patin Asam Tempoyak

Bahan-bahan:
Seekor ikan patin (sederhana besar, dibersihkan dan dipotong)
10 biji cili padi
5 ulas bawang merah
5 sudu besar tempoyak
3 keping asam keping
sekuntum bunga kantan
2 ikan daun kesum
Air secukupnya sebagai kuah

Cara membuatnya:
- Bawang merah dan cili padi dirumbuk hingga lumat
- Masukkan air dalam periuk, dan rebuskan hasil tumbuk tadi sehingga naik bau.
- Masukkan tempoyak, bunga kantan, daun kesum dan asam keping. Biarkan ia mendidih
- Masukkan ikan, dan biarkan ia mendidih lagi.
- Perasakan dengan garam dan gula.... bagi saya, saya suka rasa manis sikit, jadi saya tambah gula sikit.

Makan bersama nasi, tak sedar nasi dah bertambah! Memang menyelerakan....

Satu lagi ialah ikan patin goreng bersama bawang putih.

Ikan Patin Goreng Bawang Putih

Bahan dan cara membuatnya:
Satu labu bawang putih ditumbuk bersama sedikit garam sehingga lumat. Lumurkan pada ikan dengan sedikit kunyit. Kemudian, goreng. Bila warna bawang sudah keperangan seperti di dalam gambar, cepat2 angkat bawang dahulu. Kemudian, teruskan menggoreng ikan seperti biasa sehingga ikan masak.


Kalau anda dapat ikan patin, cubalah resepi ini. Memang menyelerakan!

Saturday, July 16, 2011

Donat Pedas Manis

Beberapa hari lepas baru je buat donat. Tapi salut gula je. Hari ni, anak2 saya minta buat donat lagi. Buat jugak la, walaupun tahu, donat ni makanan kureng sihat. Jangan makan banyak sangat udah la. Kali ni, donat saya lain sikit. Salut dengan sambal pedas manis. Ada jugak buat salut gula mcm biasa tu, utk Sofie dan Hijaz.


Bahan-bahan untuk buat doh donat ni, boleh ke SINI atau ke SINI. Tapi, untuk menghasilkan donat yang gebu dan lembut sampai petang (kalau buat pagi la...) gunakan marjerin. Kalau gunakan minyak, pada saya, donat dah tak lembut bila menjelang petang. Jadi untuk resepi kali ini, saya gunakan 2 1/2 sudu besar marjerin dan 2 sdk yis kering. Gaulkan dalam tepung sekali dengan 2 sdb susu pekat, juga secubit garam baru tambah air sedikit demi sedikit. Sebolehnya, masa uli doh tu, biar air lebih sikit, dan kita ambik tepung sikit2 utk membentuk. Saya bentukkan donat guna mulut cawan yang kecil, dan lubang tengah tu gunakan buku benang. Lepas dan bentukkan doh donat, biarkan selama 1 jam supaya donat kembang dan naik. Oooopppsss, lubang tengah donat jangan ditebuk awal ye, tebuk ketika kita nak menggoreng. Sebab, kalau tebuk awal, nanti, doh akan mengembang, dan lubang akan tertutup semula. Mudah je donat saya!


Bahan untuk sambal pedas manis:
4 ulas bawang merah
2 ulas  bawang putih
1 sdb cili coh
3 sdb sos cili
1 sdb sos tiram
3 1/2 sdb gula
secubit garam

Caranya :
~ Tumbuk bawang merah dan bawang putih.
~ Tumis bawang yang telah ditumbuk dalam minyak yang sedikit, masukkan cili boh, sos cili dan sos tiram. Tambahkan sedikit air, kacau rata.
~ Masukkan gula dan garam, kacau rata sehingga sambal kering.
~ Masukkan donat yang telah digoreng, tutup api, dan gaul rata sehingga sambal melekat rata pada donat.
~ Hidangkan.... memang sedap!

Saya tak sangka anak2 lelaki saya sukakan donat sebegini. Ikhwan makan donat salut gula tu 2 ketul je. Tapi, donat pedas manis ni, tak terkira dah berapa banyak dia makan. Amniy juga begitu.


Cawan comel utk terap donat dan buku benang utk buat lubang tengah
Selamat mencuba.... :-)

Kek Karamel seperti dalam WHI

Ini kali ke-4 saya buat kek karamel. Mesti ada yang boring pasal nampak entry kek karamel lagi dalam blog saya. Hahaha... suka hati saya la. Syok dapat buat kek ni! Puas hati...

Ini hasil ke-2 saya... baru nak tayang. 
Saya buat ni sehari selepas saya buat kek karamel pertama saya

Nak tayang hasil ke-3, tak sempat. Sebab dah selamat masuk perut. Hasil ke-3 saya buat bulan lepas jugak sebab belum jemu2 nak makan kek karamel. Terutamanya anak ke-2 saya. Cukup gemar dengan kek ni.

Pagi tadi, saya bancuh lagi kek ni. Sebab teringin sangat. Rasa lama benar tak membuatnya. Padahal baru bulan lepas buat. 3 kali lagi..... Dah selesai buat, masuk dalam peti ais. Kebetulan puasa siang tadi, so, tak sempat la nak merasa lagi. Simpan niat nak makan untuk desert berbuka nanti. 

Tengahari tadi, sambil baring2 depan TV, menonton Wanita Hari Ini di TV3. Ada pulak demo orang buat kek karamel ni. Dalam hati, "Baru je buat pagi tadi. Masih dok dalam peti ais lagi." :-) Tapi, yang tak bestnya, demo tak semenggah. Tak semua step ditunjukkan bagaimana cara buat kek ini. Kesian mereka yang tiada talian internet. Kang tak pasal2 ikut step yang ditunjukkan dalam WHI, kek karamel jadi bengkang karamel pulak! Jahat saya ni, kan? Tak sayang jari.... menaip sesuka hati. Ini hanya pendapat saya! Jangan saman saya ok! Saya cuma soerang blogger sempoi, bukan jutawan!

Saya masuk ke page FB WHI, dah ada tepek resepi. Wah... rasa teruja pulak nak join sembang2 kawan2 di nota WHI. Ada juga beri tip dan pendapat dan tak kurang ramai yang tak pernah buat, dan mahu mencuba bagaimana rasa kek karamel ini. Saya pun ada la jugak beri sikit pendapat yang tak seberapa... hehe. Nak menyibuk la katakan....

Meh la nak tayang kek karamel ke-4 saya... Hehehe

 Sempat amik gamba selepas diterbalikkan. Cuak juga masa nak terbalikkan kek ni pagi tadi. Walaupun dah buat beberapa kali, hati tetap berdebar ketika nak terbalikkannya. Paling risau kalau lapisan susu tak menjadi. Tapi, bila tengok hasilnya menjadi, lapisan susunya pun terletak elok jer..... syukur sangat.

 Saya sukakan lapisan susu yang terletak cantik tu. Nak komen sikit la... jangan marah ye. Kalau kat WHI tengahari tadi, lapisan susu kek karamel mereka amat nipis. Kenapa ye? Jimat yer....

Kek karamel yang dah potong..... saya sukakan belang pada kek ini. Kalau pandai buat belang, lagi cantik kek ni jadinya. Saya ni, masih amatur.... masih belum berapa nak menjadi belangnya. Cumanya, sebab kek ni terlampau lembut dan ringan, jadi potongan saya tu tak berapa nak kemas...... Ke macam mana ye? Ada tips tak?

Dah ready untuk dingap..... buka puasa Maghrib tadi, jamah kek ini dulu selepas makan buah kurma dan air putih. Nikmatnya.... Allah je yang tahu. Dah la sejuk, rasa nyaman je bila kek ni lalu di keringkong.

Ok, nasihat saya pada mereka yang teringin sangat nak mencuba membuat kek ini, anda perlu kuasai beberapa teknik. Salah satunya teknik membuat meringue dan teknik kaup balik utk mencampurkan putih telur meringue (bahan D) dengan bahan C. Kalau menjadi teknik2 tersebut, insya Allah kek anda akan menjadi dengan baik.

Untuk resepi lanjut dalam blog ini klik KEK KARAMEL
Sekali terima kasih kak sue, kerana banyak beri tunjuk ajar pada Fiza.

Friday, July 15, 2011

Bubur Nasi Ayam

Baru dapat update apa yang dimasak. Masak simple sangat sebab anak2 demam. Anak kedua pulak perut tak berapa selesa, jadi saya pun masakkan bubur. Sekali dah siap, makan... wah, rasa iras2 bubur ayam McD la pulak! Hehehe... malah lebih sedap dari McD punya! Sesuai la untuk anak2 yang tengah demam dan tak berselera nak makan tu.....


Bahan-bahan:
1 1/2 cawan beras - dibasuh bersih
3 ketul ayam - dipotong kecil
1/2 ketul kiub ayam
1/2 inci halia - diketuk
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 cawan santan
Air secukupnya
Bahan perasa (garam dan gula)

Bahan hiasan:
Daun bawang
Hirisan ayam Goreng

Cara membuatnya:
- Masukkan sedikit minyak ke dalam periuk, dan tumis ketulan ayam bersama halia, kulit kayu manis dan bunga lawang. Kacau rata, dan tambahkan air serta kiub ayam. Masukkan beras. Biarkan ia mendidih sehingga beras menjadi kembang. Kemudian, masukkan santan, dan biarkan ia masak sebati. Sesekali kacau ia. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.

- Selesai masak, hidangkan ia bersama hirisan daun bawang dan hirisan ayam goreng.


Ingatkan nak buat untuk orang demam dan sakit perut, tapi rupa2nya tukang masak yang lebih2 makan.... saya suka bubur nasi. Mudah hadam!


Kalau boring makan nasi hari2, bubur nasi memang menjadi pilihan. Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...